PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi ke Mesir bermula hari ini hingga 12 November depan atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri akan disambut oleh Abdel Fattah El-Sisi di dalam majlis sambutan rasmi sebelum diikuti mesyuarat dua hala.
“Sesi perbincangan tersebut dijangka akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan selain pertahanan dan keselamatan, pelancongan, pendidikan dan hal-ehwal agama.
“Ia juga melibatkan penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, air dan tenaga boleh diperbaharui selain sumber asli dan kelestarian alam,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya mengenai konflik di Palestin.
“Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar, menghoskan sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan dan merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga.
“Pada masa sama, beliau akan mengadakan pertemuan dengan para pelajar Malaysia semasa di Kaherah,” jelasnya.
Dalam konteks ini, lawatan itu juga bakal melakar satu sejarah penting di dalam hubungan persaudaraan di antara Malaysia dan Mesir.
Ia bakal membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta memperkukuhkan asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.
Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara-negara Afrika pada tahun 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga September 2024, jumlah nilai dagangan direkodkan pada RM3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. – UTUSAN