Anwar ke China hadiri Ekspo Import Antarabangsa China

Anwar ke China hadiri Ekspo Import Antarabangsa China

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke China bermula esok hingga 7 November ini.

Lawatan itu atas jemputan Premier China,  Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Ke-7 di Shanghai.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia pada tahun ini diberi penghormatan sebagai Country of Honour di CIIE Ke-7.

“Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun lalu.

“Ini termasuk bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Wisma Putra berkata, semasa majlis pembukaan CIIE Ke-7, Anwar akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Astaka Malaysia dan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Perdana Menteri juga mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.

“Anwar turut melawat Beijing pada 6 dan 7 November, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping.

“Beliau juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre,” katanya.

Jelas Wisma Putra, lawatan ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.

Katanya, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.

“Sehingga September lalu, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).

“Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (AS$ 252.5 juta),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya