PETALING JAYA: Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Rio de Janeiro, Brazil bermula hari ini hingga 19 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kementerian Luar dalam kenyataan media memaklumkan, kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah atas jemputan Presiden Brazil, Inácio Lula da Silva yang mencerminkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brazil.
Ia juga mencerminkan penglibatan aktif Malaysia dalam usaha kemampanan dan reformasi tadbir urus global.
“Di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai dua inisiatif yang signifikan iaitu Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB),” katanya.
Ketika Sidang Kemuncak G20, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi mengenai Fight Against Hunger and Poverty dan Reform of Global Governance Institutions.
Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, untuk membincangkan kerjasama dua hala termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin itu juga akan berkongsi pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.
“Anwar juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas serta teknologi digital,” tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menegaskan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global.
Lawatan kerja ini turut membuka peluang kerjasama lebih baik untuk Malaysia dan Brazil terutama apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun sama.
Selain itu, lawatan kerja ini juga akan lebih mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brazil. – UTUSAN