PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia hadir beramai-ramai ke Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan berlangsung mulai esok hingga Ahad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Anwar, program itu merupakan inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil pencapaian sepanjang dua tahun pentadbiran.
“Program ini juga menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.
“Orang ramai juga berpeluang menikmati potongan harga untuk barangan keperluan sepanjang program berlangsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan hadir merasmikan program tersebut pada Sabtu, yang dijangka menjadi detik penting bagi penjawat awam memperbaharui tekad selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam di bawah Kerajaan MADANI.
“Insya-Allah, saya akan turut hadir merasmikan Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pada Sabtu ini. Ia bakal menjadi detik penting untuk penjawat awam yang bakal memperbaharui tekad, selaras agenda reformasi perkhidmatan awam di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Program itu terbuka kepada orang ramai dan dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara. – UTUSAN