TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon peruntukan tambahan RM6 juta tahun depan agar lebih banyak koperasi dipilih menjayakan jualan Rahmah Madani Angkasa dan menjana pendapatan.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pada 26 Julai lepas kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meluluskan sebanyak RM2 juta kepada 146 koperasi menjalankan jualan Rahmah Madani Angkasa yang berakhir pada Oktober.
“Melalui program ini Angkasa menawarkan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan kepada rakyat, khususnya kepada golongan B40 dan asnaf yang terjejas dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Sebanyak 20 jenis produk-produk seperti minyak masak, gula, sardin, beras, dan telur adalah antara yang ditawarkan dengan harga subsidi melalui sistem JiMATBiz yang merupakan sebahagian daripada Projek BA100,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas lawatan kerja ke Koperasi Kariah Masjid An Nur Kuala Krau dekat sini semalam.
Menurutnya, di samping menawarkan barangan asas pada harga rendah, program ini membuka peluang perniagaan kepada koperasi memperkenalkan produk keluaran koperasi dan dijual kepada masyarakat, memperkukuhkan kedudukan koperasi sebagai penyumbang ekonomi negara.
Tambah beliau, program ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada koperasi untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk koperasi yang disenaraikan di bawah Program 100 Champion dan Pembangunan Produk.
Beliau berkata, selain daripada manfaat ekonomi, Jualan Rahmah Madani Angkasa diharap dapat berperanan membina hubungan yang lebih erat antara koperasi dan masyarakat. meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan koperasi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN