LIPIS: Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) akan memperkenalkan model koperasi sekolah di peringkat antarabangsa sempena persidangan Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) 2024 di New Delhi, India pada 25 hingga 30 November ini.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa bersama 20 pemimpin koperasi dunia akan membentangkan model koperasi sekolah Malaysia yang mula diterima pakai di beberapa negara ASEAN.
Menurutnya, Angkasa yang mengetuai 41 delegasi Malaysia membabitkan beberapa wakil seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Rakyat berperanan mempromosi kelebihan koperasi membangunkan sosioekonomi rakyat negara ini.
“Anggota Lembaga Angkasa merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Kamaruddin Ismail akan membentangkan model koperasi sekolah Malaysia. Antara yang dibangkitkan melalui pembentangan kertas kerja itu bagaimana koperasi sekolah Malaysia mengurus koperasi yang memberi manfaat ekonomi kepada sekolah dan melahirkan bakal usahawan muda.
“Walaupun banyak negara sudah ada menubuhkan koperasi sekolah tetapi model koperasi Malaysia dilihat lebih ideal dan menjadi rujukan beberapa negera antaranya Kemboja, Filipina dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku di sini hari ini.
Tambah Abdul Fattah, pada persidangan itu akan diadakan peluncuran Hari Koperasi Antarabangsa 2025 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dirasmikan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Dalam pada itu, beliau berkata, budaya keusahawanan membabitkan pelajar sekolah perlu digiatkan melalui koperasi sekolah sebagai langkah penting dalam melahirkan negara keusahawanan pada. 2030.
Tegasnya, koperasi menjadi wadah kepada pembentukan jati diri generasi muda yang bertanggungjawab dan berdaya saing sekali gus menyediakan platform pembelajaran praktikal dalam bidang keusahawanan koperasi.
“Statistik SKM sehingga Jun 2024 terdapat 2,499 koperasi sekolah di seluruh negeri dengan keanggotaan seramai 2.09 juta individu. Syer sebanyak RM30.47 juta, aset RM469.56 juta dan perolehan RM430.42 juta,” katanya.
Abdul Fattah berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan aktif bagi membantu koperasi sekolah berkembang maju dan memperolehi perolehan yang lebih tinggi.
“Sehingga kini, sebanyak 35 koperasi sekolah sudah mencapai perolehan RM1 juta yang mana tiga dari Pahang dan satu antaranya telah mencapai RM2 juta,” katanya. – UTUSAN