SEPANG: Gara-gara cuba berhutang hanya RM1,500 daripada ejen pinjaman yang tidak berlesen, seorang lelaki terpaksa menanggung azab dikurung di Kemboja lebih empat bulan.
Mangsa yang berketurunan Cina itu juga dipaksa menghubungi keluarganya di Ipoh, Perak untuk membayar wang tebusan sebanyak RM40,000 jika mahu dibebaskan.
Menurut mangsa yang dikenali sebagai Bryan, 21, dia hanya meminjam RM1,500 daripada ah long belanja kawan tetapi ditahan di sana oleh kumpulan sindiket antarabangsa.
Katanya, dia gagal melunaskan hutang berkenaan dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di Kemboja untuk membayar balik pinjaman.
“Tetapi sebaik tiba di negara itu, saya dibawa sekumpulan samseng ke Sihanoukville dan dikurung dalam sebuah hotel mewah yang dimiliki oleh penjenayah tersebut.
“Telefon bimbit dan pasport saya dirampas, tetapi mujur saya ada bawa komputer riba kecil dan diarahkan sindiket untuk beritahu keluarga supaya kena bayar tebusan,” katanya.
Terdahulu, dia disambut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Katanya, dia juga pernah dipukul oleh beberapa samseng berkenaan kerana mereka berang apabila gagal menerima wang tebusan setelah lebih sebulan berunding.
Dalam pada itu, koordinator MHO, Azirul Syafiq Sazali memaklumkan, pihaknya berjaya menjejaki lokasi Bryan melalui kaedah pesanan lama secara atas talian Messenger.
“Hasil maklumat diterima lebih tiga minggu lalu, dua buah kereta dihantar ke hotel tersebut sebelum mangsa diminta berlari memasuki kenderaan berkenaan yang menunggu di situ.
“Secara keseluruhan misi ini mengambil masa kurang sejam dan mangsa dibawa ke sebuah rumah perlindungan MHO di ibu kota Phnom Penh sebelum balik ke tanah air,” jelasnya. – UTUSAN