PETALING JAYA: Seorang anggota tentera berusia 37 tahun, ditahan bersama tiga jenis dadah, dalam satu serbuan di sebuah restoran di Taman Kon Lian, Jalan Ipoh, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, tangkapan telah dilakukan oleh anggota ronda dari Balai Polis Jinjang kira-kira pukul 3.30 pagi di hadapan sebuah restoran, di sini.
“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis methamphetamin seberat 6.75 gram, 31 pil berwarna putih disyaki nitrezepam 38.39 gram dan pil yaba 1.49 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, ujian air kencing ke atas lelaki itu didapati positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.
“Suspek direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN