Anggota polis tidak mengaku salah curi barang kemas orang meninggal

Anggota polis tidak mengaku salah curi barang kemas orang meninggal

SEORANG anggota polis yang disyaki mencuri barang kemas milik seorang wanita meninggal dunia di dalam kereta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri barang kemas milik seorang wanita yang telah meninggal dunia, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Lans Koperal Mohd. Alifah Mohd. Sapie, 35, didakwa mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di tepi jalan di Prima Setapak, Wangsa Maju di sini pukul 2.40 pagi, 1 Oktober lalu. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. 

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebat. 

Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’larifin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin. 

“Namun, sekiranya mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan yang tinggi diberikan kepada tertuduh,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam bela, R. Lavinia yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isteri dan lima orang anak. 

Majistret M.S. Arunjothy kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari hadapan untuk sebutan semula kes. 

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya yang meninggal dunia, hilang.

Beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pada 1 Oktober lalu, empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya