KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri barang kemas milik seorang wanita yang telah meninggal dunia, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Lans Koperal Mohd. Alifah Mohd. Sapie, 35, didakwa mencuri seutas rantai leher dan seutas rantai tangan milik seorang wanita berusia 26 tahun yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di tepi jalan di Prima Setapak, Wangsa Maju di sini, 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’larifin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam bela, R. Lavinia yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk isteri dan lima orang anak.
Majistret M.S. Arunjothy kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari untuk sebutan semula kes.
Media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya yang meninggal dunia, hilang.
Pihak hospital dan polis bagaimanapun memaklumkan si mati tidak memakai barang kemas ketika ditemukan dalam kenderaan itu.
Namun berdasarkan gambar daripada bomba, ada rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pada 1 Oktober lalu, empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta. –