Anggota baharu ATM terus nikmati skim pencen

Anggota baharu ATM terus nikmati skim pencen

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota baharu tentera terus menikmati skim persaraan walaupun kerajaan memperkenalkan skim baharu perkhidmatan awam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa menambah baik ekosistem kesejahteraan anggota pertahanan dengan mengambil kira pengorbanan dan jasa dalam mempertahankan negara.

Menurut beliau, perkara itu termasuklah aspek kebajikan perajurit negara termasuk daripada segi perumahan dan pendidikan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Seperti diumumkan permulaan tahun depan apabila kakitangan baharu diambil tidak lagi ada pencen, tetapi ia tidak terpakai kepada mereka yang menyertai ATM.

“Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan apabila mereka bersara, mereka tidak ada jabatan untuk jaga mereka tetapi untuk ATM, ada Jabatan Veteran untuk menjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia 2024 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Majlis itu merupakan satu manifestasi penghargaan khas serta galakan buat anak-anak warga ATM yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sejak tahun 1991, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

Menurut Mohamed Khaled, pihaknya bukan sahaja memberi perhatian kepada keselesaan tempat tinggal, tetapi keharmonian hidup warga ATM termasuk anggota keluarga.

Katanya, ia merangkumi aspek pembangunan diri dan akademik anak-anak warga ATM.

Kata beliau, antaranya adalah program tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM yang dijalankan bersama-sama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Malah, kini saya sedang mengusahakan agar semua calon SPM dalam kalangan anak-anak ATM dibekalkan dengan sebuah unit Chromebook secara percuma.

“Selain itu, bagi memastikan program tuisyen percuma dan pembelajaran dalam talian menggunakan chromebook ini lancar, Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Komunikasi.

“Kita mahu menyediakan perkhidmatan WiFi dan internet yang menyeluruh di kem-kem tentera.

“Melalui pakej Perajurit Broadband yang sedang kita usahakan, semua pengguna dalam kalangan anggota ATM akan hanya perlu membayar RM49 bagi perkhidmatan Internet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya