'Ana timbullah, abah tunggu lama dah' - Utusan Malaysia

‘Ana timbullah, abah tunggu lama dah’

AZIZAN Md. Din melaungkan azan ketika operasi pencarian anak perempuannya, Nur Arina yang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, Mukim Kerunai, Gerik. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: “Ana, timbullah Ana, abah tunggu lama dah. Abah nak jumpa Ana, mak pun nak jumpa. Abah maafkan semua Ana”.

Demikian rintihan pilu Azizan Md. Din, 60, bapa kepada Nur Arina, 20, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, Mukim Kerunai di sini semalam.

Bapa kepada empat anak itu berulang kali memanggil nama anak keduanya sambil menangis dan melihat arus Sungai Air Beruk yang mengalir deras.

Terdahulu, Azizan yang ditenangkan ahli keluarga melaungkan azan di lokasi mangsa dipercayai dibawa arus sebagai ikhtiar dalam usaha pencarian wanita tersebut.

Terdahulu, Azizan ketika ditemui media berkata, dia akan menunggu di lokasi kejadian sehingga anak perempuannya itu berjaya ditemui.

“Apa keadaan pun, saya minta agar anak selamat. Saya akan tunggu dia di sini sehingga dijumpai. Itu harapan saya.

“Sekarang pun, banyak surau buat solat hajat untuk dia. Saya doa banyak-banyak dan buat apa yang termampu sebagai ikhtiar untuk dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Azizan, isteri dan tiga anaknya termasuk mangsa pulang ke kampung halaman wanita itu di di Kampung Jong di sini semalam dan dijadualkan pulang semula ke rumah mereka di Kuala Muda, Kedah pada hari sama.

Katanya, empat beranak itu ada memberitahunya untuk berkelah bersama ahli keluarga lain apabila tiba di kampung dan dia sempat memberi nasihat supaya menjaga diri serta membatalkan niat sekiranya keadaan cuaca tidak baik.

“Mereka memang selalu mandi kalau balik ke kampung dan saya nasihatkan kalau keadaan tidak elok jangan mandi, tapi perkara pun dah terjadi, kita tak boleh buat apa,” katanya.

Sementara itu, ditanya keadaan isterinya, Saripah Ahmad, 48, yang turut dihanyutkan arus, Azizan berkata, wanita itu dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Taiping.

Katanya, isterinya ada melahirkan rasa kesal dan meminta maaf kerana gagal menyelamatkan anak mereka.

“Pukul 3.30 pagi tadi, isteri ada hubungi saya dan minta maaf kerana tidak dapat selamatkan anak. Saya minta dia sabar banyak-banyak. Ini bukan perkara yang disengajakan, benda dah nak terjadi,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang semalam, Nur Arina dihanyutkan arus deras ketika beriadah bersama ibu dan adik perempuan serta dua sepupunya di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan tiga ahli keluarga lain menyelusuri sungai menggunakan pelampung dengan ibunya berpaut pada pelampung sebelum pelampung yang digunakan mangsa terpisah daripada ahli keluarga lain.

Tindakan mangsa yang turun dari pelampung telah menyebabkan dia dihanyutkan arus deras dan ibunya yang melihat kejadian itu cuba membantu sebelum turut dibawa arus namun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya