Amir Ukays khuatir dengan nasib anak - Utusan Malaysia

Amir Ukays khuatir dengan nasib anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Didakwa terbabit dalam satu kes curi sebuah kereta Ferrari yang tular baru-baru ini, penyanyi, Amir Ukay s, mengakui bimbang dengan nasib anaknya, Mohd Aliff Naim Mohd Azmir, 38, yang dikatakan terlibat dalam insiden tersebut bersama lima rakan lain.

Perkara itu disampaikan kepada peguamnya, Muhamad Firdaus Jumaludin yang memaklumkan kes itu sudah diserahkan kepada pendakwaan semasa anak guamnya itu dituduh di Mahkamah Baharu Ampang.

Bagaimanapun, jelas Firdaus, kertas pertuduhan perlu dibicarakan terlebih dahulu sebelum seseorang yang dituduh itu boleh didapati bersalah.

“Segala pembuktian di peringkat ini akan bergantung kepada pendakwaan untuk menentukan sama ada terdapat prima facie kepada kes anak guam saya. Setakat ini anak guam belum lagi didapati bersalah atas apa-apa kesalahan dan belum lagi dipanggil pihak mahkamah untuk membela diri. Semua keterangan termasuk tempat-tempat kejadian, bahan-bahan bukti, dan saksi-saksi akan dibawa ke Mahkamah semasa perbicaraan februari kelak.

“Bagaimanapun, sebagai bapa kepada anak guam saya, Amir, tidak dinafikan, berasa khuatir dengan nasib anaknya sehinggakan hari-hari dia akan bertanyakan mengenai perkara ini kepada saya.

“Pun begitu, anak guam saya sudah pun dibebaskan atas bon jamin yang diberikan mahkamah semalam di hadapan Puan Majistret Amalina Basirah Md Top,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selain itu, mewakili Amir, Firdaus berkata, penyanyi tersebut memohon rakan-rakan, keluarga dan mereka yang mengenali anaknya dan keluarga supaya sentiasa mendoakan kebaikan buat mereka.

“Amir cuma memohon doa daripada semua pihak yang mengenali. Kita pun faham, baik buruk ini mana kita nak jangka akan terjadi. Apa yang boleh dikatakan, anak guam saya ini berada di tempat dan waktu yang salah,”katanya.

Polis baru-baru ini mengesahkan anak seorang penyanyi tempatan antara enam individu yang ditahan membabitkan kes curi sebuah kereta Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang, 17 November lalu.

Kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemiliknya yang juga seorang ahli perniagaan bidang penerbangan berusia 50-an meminta pekerjanya untuk mencuci kereta itu di sebuah pusat cucian di Hulu Kelang, sebelum dimaklumkan bahawa kereta Ferrari hilang.

Susulan dari itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya, yang melakukan siasatan menemui semula kereta Ferrari berkenaan di lot parkir sebuah kediaman di Taman Tunku, di sini, Sabtu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN