PETALING JAYA: Pengarah filem Kahar: Kapla High Council, Razaisyam Rashid, mendedahkan terkejut melihat skrip milik pelakon, Amir Ahnaf basah dipenuhi tangisan.
Jelas Razaisyam, perkara itu menggambarkan Amir begitu komited sebagai pelakon utama dalam menjiwai karakter sebagai Kahar.
“Saya jumpa Amir tengok skrip basah, betul sumpah,” katanya.
Razaisyam mengulas pendedahan Amir yang mengatakan dirinya tidak dapat menahan air mata selepas membaca skrip buat kali pertama sebelum penggambaran dimulakan.
Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, sempat tersenyum sebelum mengakui karakter Kahar membuatnya sarat dengan emosi.
“Sebelum ini, dalam drama Project: High Council, kita tidak tahu latar belakang seorang Kahar. Tapi bila saya dapat sahaja skrip, saya nangis, kemudian barulah fikir bagaimana mahu bawa karakter ini.
“Kalau anda dapat lihat, perjalanan filem ini dipenuhi dengan bermacam emosi. Ada babak yang Kahar mahu nangis tapi kena tahan. Cuma ketika adegan Kahar bersemuka dengan bapanya barulah saya lepaskan semua.
“Ketika itulah saya baru faham perasaan seorang Kahar terhadap bapanya,” katanya.
Amir dan Razaisyam ditemui Utusan Malaysia di majis sidang media dan tayangan perdana filem Kahar: Kapla High Council, di Mid valley Megamall, semalam.
Bercakap mengenai cabaran menghasilkan filem ini, Razaisyam mengakui pihaknya berdepan kekangan masa namun masing-masing berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkan filem ini seperti dirancang.
“Cabaran yang sebenar untuk filem ini ialah mengejar masa. Semua orang memang bekerja keras, lakukan habis habiskan untuk kita pamerkan benda yang terbaik.
“Menerusi filem ini kita mahu hapuskan ‘generation trauma’ iaitu generasi sebelum ini yang mendapat tekanan daripada keluarga. Tekanan itu yang menyebabkan rasa marah seorang anak muda untuk memilih jalannya sendiri.
“Itu yang ingin kita mahu bicarakan dalam filem ini,” katanya.
Turut sama menjayakan filem ini ialah Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, Khenobu, Husyairi Hussain dan Hasnul Rahmat.
Filem Kahar: Kapla High Council bersedia menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia, Brunei, bermula 28 November dan Singapura pada 5 Disember. -UTUSAN