KUALA LUMPUR: Pelakon, Pekin Ibrahim memaklumkan dia tidak teragak-agak untuk menolak watak yang diluar kemampuannya.
Kata Pekin, tindakan itu penting untuk menjaga kelangsungan karier selain mengelakkan risiko tidak diingini.
“Bukan memilih tawaran, tapi ambil yang sesuai kemampuan. Jangan main ambil sahaja.
“Babak berenang misalnya, kalau pelakon tak mahir, tak akan mahu terima juga tawaran itu. Begitu juga babak pertarungan, tak mungkin pelakon boleh mahir bertarung kalau tempoh persediaan hanya satu bulan.
“Jadi seeloknya teliti skrip sebelum buat keputusan. Langkah ini pun untuk kebaikan karier pelakon itu sendiri,” kongsinya.
Pelakon berusia 43 tahun itu dalam masa yang sama berkongsi perkembangan terbarunya yang bakal muncul dalam filem arahan Dain Said.
Katanya, peluang itu ibarat peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan.
“Ia sebuah filem yang mengandungi elemen spiritual, lebih kurang filem Bunohan yang saya lakonkan sebelum ini.
“Saya terima tawaran ini kerana Dain. Saya tertarik pada skrip dan pengarahannya.
“Filem ini selesai penggambaran bulan Ramadan tahun ini. Dan kali ini, saya bergandingan bersama Fattah Amin,” kongsinya.