BESUT: Pengusaha ikan bilis di Kampung Benting Lintang, di sini, memanfaatkan panas matahari pada musim tengkujuh ini dengan menjemur dan memproses makanan laut itu.
Peniaga Rasyidah Mamat, 49, berkata kerja-kerja itu dilakukan untuk memastikan bekalan ikan bilis sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran.
Setiap hari, kira-kira 200 kilogram ikan bilis dijemur antara lima hingga enam jam dan akan menyimpannya di ruang penyimpanan khas sebelum dijual.
“Sekiranya hujan, ikan bilis ini saya sejuk beku terlebih dahulu bagi mengelakkan ia rosak. Kalau tidak kering sepenuhnya dibimbangi kualitinya terjejas dan cepat berkulat,” katanya ketika di temui di Kampung Benting Lintang di sini, semalam.
Ikan bilis yang sudah direbus selama 30 minit dengan air garam dijemur bagi memastikan ia segar dan kering, selain tahan disimpan dalam tempoh masa yang panjang.
Rasyidah berkata, kalau hujan berterusan, proses pembuatan ikan bilis akan dihentikan buat sementara waktu dan kembali beroperasi selepas Monsum Timur Laut (MTL).
Beliau mengakui musim tengkujuh bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatannya seorang, sebaliknya turut menjejaskan penduduk setempat yang mengambil upah memproses ikan bilis.
“Ikan bilis yang telah siap diproses, dibungkus sebelum dijual secara runcit dan ditempah pemborong dari seluruh negara. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM30 sekilogram mengikut saiz ikan bilis tersebut,” katanya. -UTUSAN