PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa kawasan pagi ini.
Amaran tersebut meliputi beberapa kawasan di negeri Perak iaitu Kerian dan Larut, Matang dan Selama.
Selain itu, kawasan terlibat di Sarawak pula merangkumi daerah Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu manakala di Sabah hanya di Sandakan.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang jelas pada pencerapan stesen meteorologi, gema radar, imej satelit dan produk NWP.
Jelasnya, ia turut dilihat melalui carta udara atas yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm sejam yang sedang atau dijangka berlaku.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi 6 jam untuk satu-satu keluaran.
“Ribut petir biasanya disertai dengan angin kencang dan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya.
MetMalaysa turut memberi amaran bahawa dalam keadaan yang ekstrem, ribut petir akan menghasilkan hujan batu dan puting beliung iaitu belalai air dan belalai darat.- UTUSAN