PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga 23 November ini.
Amaran hujan lebat berterusan bagi tahap buruk dijangka melanda Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Mahang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), keseluruhan negeri Terengganu serta Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin).
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berterusan sehingga 23 November di Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan di Kelantan (Gua Musang), Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Manakala di Sabah pula, hujan dijangka berlaku dalam tempoh 23 sehingga 25 November di kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta keseluruhan daerah Kudat.
Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan atau ribut petir yang dijangka berlaku lebih enam jam dalam tempoh tertentu di sesuatu kawasan. – UTUSAN