Masih segar dalam ingatan Cik Bunga, bagaimana seronoknya pelakon manis, Alya Iman, bercerita secara santai mengenai buah hatinya yang merupakan seorang usahawan sebelum ini.
Ketika itu, Cik Bunga pun tumpang seronok juga sebab nampak Alya sangat ‘in love’ dengan jejaka berkulit putih berkenaan. Nampak serasilah mereka berdua apabila dia juga sudi menunjukkan gambar mereka yang disimpan kemas dalam telefon bimbitnya.
Rasa Cik Bunga lama juga mereka bercinta. Nak dijadikan cerita, semasa Cik Bunga berpeluang bertemu dengan Alya di set penggambaran filem Susuk Bidadari di Genting Highland baru-baru ini, pelakon ini datang berbisik pada kita.
Katanya, hubungan cintanya dengan jejaka berkenaan sudah terputus di tengah jalan sekitar pertengahan tahun. Terkejut juga Cik Bunga, ingatkan mampu bertahan sampai ke jenjang pelamin.
Tetapi nak harap ke jenjang pelamin itu pun tidak juga sebab seingat Cik Bunga, Alya pernah cakap tak mungkin untuk dia berkahwin pada waktu ini sebab mahu fokus kerja.
Tak pula pelakon ini nyatakan sebab apa dia putus cinta itu. Tetapi dia sempat juga berseloroh, tak apalah dia lebih rela solo sekarang.
Cumanya, dalam masa yang sama, Cik Bunga kasihan juga dengan Alya sebab kebetulan, masa dia sedang dibelenggu dengan remuknya hati kerana putus cinta, pada masa yang sama, dia turut kehilangan sahabat baiknya yang dikenali sebagai B.
Bayangkan, dia sedang meratapi kesedihan yang bertubi-tubi dalam masa yang sama. Kalau Cik Bunga pun pasti tak mampu berbuat apa-apa dan berkurung sahaja di rumah.
Apa pun, Alya lekas bangkit dari kesedihan ya. Jangan berlama-lama, fokus pada kerjaya.