Program Sirih Pulang Ke Gagang (SPKG) menjadi medium terbaik buat bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang berjaya dalam bidang akademik dan kerjaya untuk kembali menabur bakti kepada institusi tersebut.
Pengetua MRSM Alor Gajah, Azaam Yacob berkata, program anjuran bersama Alumni MRSM (Ansara) Alor Gajah, pengurusan maktab, Badan Permuafakatan Ibu Bapa (Muafakat) MRSM Alor Gajah dan rakan strategik, Ansara Terendak itu memasuki tahun kedua penganjuran dan diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 pada 25 dan 26 Oktober lalu.
Kata beliau, SPKG bertujuan memberi peluang kepada alumni yang datang daripada latar belakang berbeza menyumbang tenaga, kepakaran dan wang ringgit di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga maktab.
“Bertemakan Empowered, Together sebanyak empat program diatur untuk memenuhi slot SPKG pada tahun ini.
Bengkel temuduga dan ceramah kerjaya yang menyasarkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima dijayakan oleh ahli panel yang berkongsi pengalaman dan panduan sebelum para pelajar melangkah ke institusi pendidikan tinggi serta alam pekerjaan.
“Wawancara olok-olok yang disusun khas untuk pelajar Tingkatan Lima pula memberi pendedahan dan pengalaman ketika menghadiri sesi temu duga. Selain itu, acara sukan yang disertai oleh alumni, muafakat dan pelajar maktab mengeratkan lagi hubungan yang sudah sekian lama terjalin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat MRSM Alor Gajah di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, pelajar, Ashraf Danial Muhammad Suhaimi, 16, berkata, pelbagai panduan dikongsikan alumni terutama berkaitan laluan pemilihan kerjaya yang bersesuaian dengan minat. – UTUSAN