KUALA LUMPUR: Hikayat Merong Mahawangsa bukan cerita yang mudah untuk dipentaskan.
Apatah lagi apabila ramai pengkaji yang menyifatkan cerita itu sebagai bukan mitos, malah realiti yang berlaku di negeri Kedah.
Keadaan itu menghadirkan cabaran buat seluruh pasukan produksi teater, yang sebahagian besarnya alumni Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mementaskan muzikal Sakti Merong Mahawangsa.
Penulisnya, Siti Jasmina Ibrahim berganding dengan Dr. Norzizi Zulkifli dan Dr. Lenny Erwan, menyahut cabaran dalam menghasilkan skrip berkredibiliti bagi pementasan tersebut.
“Bukan mudah untuk pentaskan cerita berat. ASWARA tidak dibina di Kedah, dan wujud antara kami, tidak berasal dari negeri tersebut.
“Tetapi kami lakukan kajian dan berhasrat untuk berkongsi kisah Merong Mahawangsa yang berasal dari Rom, yang dalam perjalanan ke China, singgah di Langkasuka.
“Jadi itu menjawab persoalan mengapa kami pilih cerita ini untuk dipentaskan nanti,” katanya.
Siti Jasmina berkata demikian ketika sidang media teater berkenaan dan sambutan Jubli Mutiara ASWARA baru-baru ini.
Kata Siti Jasmina lagi, sebagai alumni institusi pengajian seni terulung negara itu, pasukan produksi mengambil semangat penceritaan Merongmahawangsa itu yang sinonim dengan perjalanan graduan dan bekas pelajar ASWARA.
“Ibarat perjalanan kami di ASWARA, Merongmahawangsa datang dan membuka Langkasuka lalu kekal. Kami daftar ke ASWARA, menuntut ilmu dan kekal kembali ke sini untuk pementasan ini,” ujarnya.
Teater istimewa ini menampilkan pelakon hebat yang juga bekas pelajar ASWARA, antaranya Aris Kadir, Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Fiza Thomas, Najua P. Ramlee, Mei Fen dan ramai lagi.
Mengulas tentang pemilihan pelakon, pengarah, Shahrul Mizad Asari memaklumkan, pemain yang tersenarai adalah mereka yang sesuai dan mampu menghidupkan watak yang dipertanggungjawabkan dalam pementasan itu.
“Banyak kriteria yang kami teliti, tapi keputusan bukan dibuat saya seorang, ia adalah hasil kesepakatan bersama.
“Terlalu ramai alumni yang hadir uji bakat, justeru pemilihan tidak mudah. Kami tidak mencari pelakon yang lengkap pakejnya, tapi kewibawaan mereka membawa karakter tersebut,” kongsinya.
Sakti Merong Mahawangsa bakal dipentaskan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 22 November ini.
Tiket berharga RM40, RM80, RM120 dan RM150 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.cloudjoi.com.- UTUSAN