PETALING JAYA: Allahyarham Tun Daim Zainuddin mengabdikan hidup ke arah matlamat memaju, membangun dan memperkasakan ekonomi Malaysia.
Bagi Allahyarham, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi usaha gigih tanpa mengharapkan balasan.
Ahli keluarganya dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham juga menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakimi dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT ketika berdepan situasi sukar.
“Allahyarham pulang ke pangkuan pencipta-Nya dengan penuh ketenangan dan kesyukuran. Sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah sehinggalah ke persada dunia diwarnai dengan jasa yang dicurahkan serta semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara tercinta.
“Apa yang paling utama, prinsip arwah dalam hidup iaitu iman mendalam kepada Allah SWT. Sebutan yang tidak pernah tinggal adalah syukur dan di sebalik kejayaan di dunia, beliau yakin ganjaran diterimanya disebabkan keimanan kepada Maha Esa,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Allahyarham yang merupakan bekas Menteri Kewangan bukan seorang yang suka menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak, sebaiknya mempunyai sikap pemaaf dan sanggup memikul beban serta berdepan konflik dengan tenang.
Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 8.30 pagi 13 November lalu, di Hospital Assunta di sini.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali iaitu dari 1984 hingga 1991 (kali pertama) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Daim kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr. Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – UTUSAN