KUALA LUMPUR : Berikutan mengalami dua geleseran cakera pada bahagian tulang belakang (slip disc), pelakon, Beto Kusyairy, kini mula mengurangkan babak lakon aksi memandangkan pergerakannya mula terbatas.
Menurut Beto, sakit yang dialami itu berpunca daripada beberapa kecederaan lamanya yang kini kembali menyerang.
Keadaan itu kata Beto telah membuatkan dirinya terpaksa membataskan aksi lasak agar tidak memudaratkan kesihatannya pada masa akan datang.
“Umur saya sudah 44 tahun, semestinya apabila sudah mencecah angka empat semua perkara menjadi perlahan. Nak buat badan jadi perlahan, apatah lagi pergerakan sudah tidak sama seperti zaman muda dahulu.
“Banyak kecederaan lama yang saya tak pernah layan, sekarang datang semula. Pinggang mula sakit dan tempoh hari semasa buat pemeriksaan, rupanya ada slip disc pasa dua bahagian. Selama ini saya tak layan sakit itu.
“Hati mahu buat macam-macam aksi, tetapi kemampuan fizikal tidak membenarkan. Sudah terbatas sedikit. Saya terfikir juga mahu perlahankan watak-watak yang terlalu aksi,”katanya.
Beto berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di set penggambaran filem Gayong di TUDM, Sungai Besi, kelmarin.
Beto bagaimanapun bersyukur kerana babak aksi dalam filem Gayong tidak sukar dan koreografi yang diberikan disifatkan masih ringan.
“Saya bersyukur dalam projek filem Gayong, saya diberikan koreografi yang sangat bagus dan mampu dibuat. Saya juga dijaga dan dikawal dengan baik dari sudut keselamatan.
“Dari hari pertama penggambaran hingga hari terakhir filem Gayong, alhamdulillah tiada kecederaan serius. Cuma lebam dan luka sikit itu biasalah,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai cabaran membawakan watak Allahyarham Datuk Meor Rahman iaitu pengasas seni Silat Gayong, Beto menjawab dia berasa risau tentang penerimaan masyarakat terutama ahli keluarga arwah.
Malah, Beto memberitahu, dia pada mulanya enggan menerima tawaran tersebut. Namun selepas diyakinkan pihak produksi, dia akhirnya bersedia menggalas watak berkenaan.
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah dari sudut ekspektasi masyarakat terutama keluarga arwah Datuk Meor dan juga peminat arwah serta anak-anak silat gayong.
“Saya sebenarnya berat hati untuk terima tawaran ini pada mulanya kerana risau tentang penerimaan masyarakat.
“Saya sendiri merupakan anak gayong, saya belajar silat gayong bermula darjah satu sampai habis sekolah menengah. Masuk universiti mula perlahan.
“Namun, saya terima tawaran selepas berjumpa dengan pihak penerbit dan diterangkan jalan cerita, akhirnya saya terima. Filem ini mengenai awal penubuhan silat gayong, bila dengar saya mula reda sikit,”katanya.
Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak itu turut menampilkan Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama. Naskhah ini dijangka bakal menerjah pawagam seluruh Malaysia pada Mei 2025.