AKTOR berpengaruh ini tidak menoleh ke belakang selepas dia melangkah ke dalam dunia lakonan pada tahun 2008.
Ibaratnya Zul Ariffin, 38, sudah dapat meramalkan, penglibatannya dalam bidang berkenaan bukan persinggahan sementara. Bagaikan jelas dia melihat masa depannya di situ.
Bermula sebagai ‘budak hingusan’ yang titik tolak awalnya menerusi kemunculan dalam iklan-iklan televisyen, anak kelahiran Taiping, Perak ini mengorak langkah menjadi wajah penghias dalam drama drama tempatan.
Selepas pembabitan yang cukup lama, Zul kini berada dalam liga yang tersendiri, diangkat sebagai hero pilihan untuk filem tanah air. Segala pencapaiannya hari ini tentu sekali diraih selepas kepada pemegang tunggal gelaran tersebut iaitu Rosyam Nor.
dia melalui banyak fasa dalam kerjaya lakonannya. Dalam erti kata lain, kematangan pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin detik ini adalah hasil ‘henyakan’ dan ‘sepak terajang’ dunia hiburan yang ditelusurinya selama ini.
Hasilnya, sebagai anak wayang, Zul sudah mampu tersenyum bangga dengan lebih 23 filem, lebih 50 drama dan 25 telefilem yang dijayakannya setakat ini.
Dia juga sudah pun merasa kemanisan menggenggam pelbagai pengiktirafan dan penganugerahan, termasuk trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) dan Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM31.
Namun, sebaik sahaja saya memaklumkan kepadanya bahawa dia selayaknya merampas gelaran Hero Malaya, segera dia mengingatkan saya kepada pemegang tunggal gelaran tersebut iaitu Rosyam Nor.
“Sebenarnya saya sendiri kurang jelas dengan kriteria sebenar Hero Malaya? Saya pun tidaklah fikirkan sangat mengenai apa gelaran sekalipun.
“Cuma, apa yang saya mahu katakan adalah, di Malaysia, aktor yang secara konsisten berlakon filem, jumlahnya boleh dikira dengan jari, tidak ramai. Kita pun tak tahu siapa yang layak untuk diangkat sebagai Hero Malaya, melainkan asyik muka pelakon itu yang muncul di layar perak.
“Jadi, terserah kepada penonton untuk menilai siapa Hero Malaya di mata mereka. Saya pun tak tahu mahu komen macam mana menilaikan sekiranya ada yang berpandangan saya layak memiliki gelaran itu.
“Dan saya tak pernah kisahkan pasal gelaran kerana perkara tersebut bukan sesuatu yang saya kejarkan. Tugas saya hanya berlakon dan jual filem yang saya lakonkan. Hero Malaya, tidak rasanya. Kalau Hero Filem Malaysia, mungkinlah,” katanya berseloroh.
Mungkin ramai beranggapan Zul Ariffin antara pelakon termahal di Malaysia berdasarkan reputasi dan pengalaman yang dipegangnya pada hari ini.
Pandangan itu ditolak aktor ini, yang merasakan lebih ramai pelakon lain yang dibayar lebih tinggi berbanding kadar bayaran yang diletakkannya.
“Tanyalah kepada mana mana penerbit yang pernah bekerja dengan saya, tentu sekali mereka bersetuju yang hakikatnya saya bukan pelakon mahal bayarannya. Kalau dulu, ketika saya berlakon drama, mungkin pernah jugalah saya merasa bayaran melambung tinggi. Itu dulu.
“Pada saya, harga yang saya letakkan adalah setimpal dengan hasil kerja dan pengalaman yang saya ada dalam bidang ini. jangan fikir dengan berlakon sahaja kita boleh jadi kaya raya.
“Perlu saya nyatakan bahawa saya dahulu bermula kosong, tidak berbakat pun untuk menjadi pelakon. Bekalan yang saya bawa waktu itu hanyalah motivasi, iaitu, kalau tiada kerja maka tak makanlah saya, tambah pula saya bukan orang senang. Tanpa pertolongan sesiapa, saya berusaha sendiri. Belajar berlakon pun sendiri.
“Jadi, pelakon yang berjaya dan bertahan lama bukan senang. Ia satu proses yang cukup lama dan mencabar. Saya melihat ramai pelakon yang terpaksa berpatah balik kerana kecundang dipertengahan jalan. Sebab itu, saya sayang dan jaga karier saya ini dengan sebaiknya, tidak mahu sia siakan apa yang saya usahakan selama ini,” kongsinya.
DON DUKUN
RAMAI yang memberikan pujian terhadap keberkesanan lakonan Zul dalam filem ini yang mana genrenya, komedi, bukan satu kebiasaan bagi pelakon ini.
Keberkesanannya menghidupkan watak Don Arif dalam filem ini sebenarnya membuka mata ramai penonton filem Melayu yang sebelum ini terbiasa menonton lakonan pelawak dalam filem komedi.
Zul antara segelintir pelakon yang berjaya membuktikan bahawa pemain utama filem komedi tidak semestinya hanya terdiri dalam kalangan pelawak sahaja.
“Kalau dalam filem Hantu Kak Limah, penonton dapat saksikan pelbagai jenis pelakon, ada pelawak, dan ada juga yang bukan. Tetapi kali ini, menerusi filem Don Dukun, saya yang bukan pelawak, diangkat meneraju naskhah komedi. Tentunya perkara ini menakutkan saya.
“Boleh kata, Don Dukun adalah ‘padang’ yang berbeza untuk saya. Ia sebenarnya pengalaman yang membuka mata bahawa ada penerbit dan pengarah, walaupun tak ramai mahukan bukan pelawak untuk membawa peranan utama dalam filem komedi.
“Ia bukan tentang kita ini pelawak atau bukan, lebih mengenai keberkesanan kita lakonkan watak yang diberikan,” kongsinya.
Setakat Rabu lalu, Don Dukun merekodkan pencapaian yang baik dengan hasil kutipan RM3 juta selepas enam hari ditayangkan. Tentunya, Zul, barisan pelakon lain termasuk Ropie, Datuk Yusof Haslam, Marsha Milan, Sangeeta, Douglas Lim dan seluruh tenaga kerja produksi filem ini kini boleh tersenyum lega dengan pencapaian berkenaan.
“Filem ini tidaklah terlalu menekankan elemen seram, pada saya, ia sesuai ditonton seisi keluarga. Cuma tinggal lagi cabarannya adalah untuk jual filem ini, sebab ia filem komedi.
“Sebagai pelakon, sememangnya saya berdebar menantikan sejauh mana filem ini diterima baik penonton. Apa pun saya harap penonton filem kita dapat berikan sokongan,” kongsinya lagi.
SAYA NAK JADI SUAMI, BUKANNYA PROP ATAS PELAMIN
MESKIPUN sering diajukan soalan tentang perkahwinan, Zul tidak menolak berkongsi sisi pandangan mengenai hal tersebut. Sebagai seorang lelaki yang boleh dikatakan hampir memiliki segalanya, baik kerjaya, rupa paras dan sebagainya, tentu sekali dia juga berkeinginan untuk berkeluarga.
Baginya, soal berumah tangga terlalu subjektif untuk dibahaskan. Keinginan masih ada, namun dia tetap menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.
“Orang hendak tahu juga bila saya akan tamatkan zaman bujang. Satu sahaja saya hendak cakap, kalau saya nak kahwin, tiada satu manusia pun yang boleh halang.
“Sebelum fikirkan tentang perkahwinan, saya kena pastikan saya betul-betul bersedia dan cukup layak untuk pimpin keluarga. Selagi belum sedia, risau juga nak berkahwin. Saya nak bina rumah tangga, bukan nak sekadar nak bersanding atau berkahwin sebab ikut trend.
“Hidup kita pun ada harinya teratur, ada masa, ‘ke laut’. Kalau boleh, biarlah saya mantapkan diri sendiri, perbaiki perwatakan, personaliti, kesabaran, pengurusan masa dan sebagainya.
“Saya ini ‘anak jantan’. Kalau mahu jadi suami, kena jadi yang betul-betul berkemampuan dalam semua hal. Jadilah suami yang sebenar-benarnya, bukan sekadar prop atas pelamin,” ujarnya.
Saya tanyakan juga kepada Zul, adakah dia juga terkesan, bertukar persepsi mengenai perkahwinan disebabkan isu perceraian dalam kalangan artis yang semakin banyak dilaporkan di media kebelakangan ini.
Katanya, isu rumah tangga pasangan lain tidak sedikit pun memberi impak dan mengubah pandangannya tentang berumah tangga. Lagi pula, dia tidak gemar bercakap mengenai perkahwinan orang lain.
“Peduli atau tidak, tidak membawa apa-apa kesan terhadap saya. Untuk kata saya tak tahu, mustahil, sebab isu perceraian ini tular dan selalu berlegar di media sosial. Orang tetap akan rancak bercakap mengenainya.
“Memberi pandangan tentang hal rumah tangga orang lain adalah satu perkara yang mengerikan. Netizen memberi pandangan ibarat mereka tahu keseluruhan cerita.
“Tapi ada jugalah saya berseloroh dalam hati. Orang sibuk nak tahu bila saya nak kahwin, walhal tengoklah keadaan sekarang ini,” katanya tertawa.