Demi memastikan perkhemahan unit beruniform ke arah satu kelainan dan luar daripada kebiasaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan telah membina satu pintu gerbang gergasi sekali gus menjadi tarikan ramai termasuk komuniti setempat.
Pintu gerbang gergasi ini dibina di laluan permulaan padang sekolah hasil kerjasama daripada guru-guru lelaki yang layak digelar ‘badang’ dan ‘wira’ kepada kemenjadian dan kejayaan membina pintu gerbang yang dibina daripada batang buluh ini.
Sebelum perkhemahan lagi guru-guru yang diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Mazraihan Hilmi akan membuat persiapan untuk memastikan urusan mendapatkan buluh benar-benar membuahkan kejayaan.
Di pedalaman Jeli yang dikenali sebagai Bandar Paling Bahagia ini, pencarian buluh begitu mudah memandangkan pohon seribu guna ini tumbuh melata di hutan dan tebing sungai.
Namun begitu untuk mendapatkan buluh memerlukan kerjasama berpasukan antara guru-guru dan bukan bergerak secara solo.
Aktiviti mencari buluh dan masuk hutan ini sudah pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Mujurlah guru-guru yang terlibat sudah biasa dengan suasana hutan dan pedalaman termasuk Mazraihan Hilmi. Mazraihan yang dikatakan sebagai ‘wanita besi’ ini sanggup ke hutan mencari buluh bersama guru-guru lelaki yang lain dengan segala peralatan seperti parang, gergaji dan tali.
Beliau adalah satu-satunya guru perempuan yang bersemangat untuk mengumpul puluhan batang buluh dengan menyewa sebuah lori khas yang akan mengangkut buluh dari hutan ke sekolah.
“Saya tidak kisah meredah hutan. Bermain dengan pacat dan pepijat serta mengambil risiko memandangkan keadaan cuaca juga tidak menentu ketika itu. Namun, saya bangga kerana saya dikelilingi guru- guru lelaki yang tidak pernah kenal erti penat lelah.” ujarnya.
Apabila buluh-buluh tersebut diangkut ke sekolah, guru-guru lelaki akan bergotong-royong membina pintu gerbang yang menjadi mercu tanda perkhemahan penuh gilang-gemilang nanti.
Guru-guru sanggup bersengkang mata. Tidak menghiraukan hujan dan panas. Tidak mengira malam atau siang dalam menyiapkan pintu terbang untuk kegunaan peserta perkhemahan nanti.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Shamsul Bahari Abd Manap juga turut sama-sama membantu memotong, membina serta memanjat menara buluh ini biar pun ada masalah kesihatan.
“Ketepikan soal penat lelah. Nampak sahaja kerjasama antara satu sama lain membuatkan saya lagi bertambah semangat untuk membina menara tinggi. Alhamdulillah, semua yang dilakukan ini adalah untuk kegunaan, pembelajaran dan kemenjadian murid khususnya dalam ilmu perkhemahan.” ujarnya.
Sikap dan kerjasama mereka ibarat pepatah berat sama dipikul berat sama dijinjing amat tepat untuk menggambarkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua guru. Mereka sama-sama memotong, mengikat dan membina pintu gerbang dengan jayanya.
Akhir sekali ramai-ramai menghias pintu gerbang ini dengan bendera unit kokurikulum pengakap, TKRS, dan PPIM. Paling penting satu kain rentang akan diikat pada pintu gerbang ini sebagai tanda meraikan kerja keras selama ini yang akhirnya telah membuahkan hasil tidak kira kepada guru atau pun murid-murid sendiri.
Program khidmat masyarakat seperti ini sangat bermanfaat kerana dapat meningkatkan kesedaran sosial.
Murid-murid belajar untuk menghargai tempat ibadah dan memahami pentingnya peranan komuniti dalam menjaga kebersihan tempat awam.
Sebelum pulang, mereka terus mengabadikan kenangan dengan bergambar di hadapan pintu gerbang gergasi itu.
Murid-murid pulang dengan semangat baru, rasa lebih yakin, dan pastinya lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang. – UTUSAN