PETALING JAYA: Akta Tahanan Rumah sebagai hukuman alternatif boleh mengurangkan kesesakan di penjara selain menjimatkan kos kerajaan susulan kadar banduan yang semakin ramai di seluruh negara.
Perkara ini berikutan, fasiliti penjara mengalami kadar pertambahan banduan melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146 berbanding jumlah kapasiti keseluruhan terkini 87,419 orang (melebihi 11.24 peratus) pada 5 November.
Pada masa sama, kadar pemenjaraan Malaysia yang tinggi, iaitu 245/100,000 penduduk berbanding purata dunia 145/100,000 yang memberi kesan negatif kepada imej negara dari segi keselamatan dan kesejahteraan awam di peringkat antarabangsa.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, keperluan untuk mengwujudkan Akta Tahanan Rumah (Home Detention Act) merupakan hukuman alternatif yang membolehkan prospek menjalani
hukuman di rumah dengan peraturan-peraturan mengikut masa yang ditetapkan.
Katanya, ia dapat mengawal pergerakan prospek untuk kekal di dalam rumah (kediaman) seperti mana ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
“Selain itu Program Pemulihan Dalam Komuniti atau hukuman alternatif baharu yang lain membolehkan pengurangan kesesakan institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan.
“Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, setakat ini terdapat 43 institusi penjara di seluruh negara dengan 19 mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutamanya penjara di bandar besar. – UTUSAN