SEPANG: Polis mengesahkan aksi gaduh dua lelaki yang tular di laman X telah dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Satu laporan dibuat telah seorang petugas syarikat penerbangan yang kemudian memaklumkan insiden itu berlaku pada 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati, pergaduhan itu tercetus akibat perselisihan faham membabitkan seorang petugas syarikat penerbangan dengan seorang penumpang.
“Kejadian berpunca daripada isu kelewatan mendaftar masuk untuk penerbangan. Akibat pergaduhan itu, petugas syarikat penerbangan tersebut mendapat kecederaan ringan,” katanya.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan.
Hari ini, tular di media sosial memaparkan dua lelaki bertengkar dan bertumbuk di hadapan sebuah kaunter. Kejadian tersebut turut dirakam individu lain yang berada di kawasan berkenaan sebelum dikongsikan di laman X (Twitter) pada Sabtu.
Berdasarkan rakaman berdurasi 31 saat itu, kelihatan seorang lelaki yang mengenakan baju kurta berwarna hijau menumbuk lelaki berpakain serba hitam hingga semua mata tertumpu ke arah mereka. – UTUSAN