PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat MKI Kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penyelidik.
Pengerusi MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia berdasarkan kepada fakta bahawa pegangan GISBH iaitu:
i) Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi.
ii) Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman;
(iii) Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya;
(iv) air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai keberkatan;
(v) mengamalkan ekonomi riba ashi yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah; atau
(vi) mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.
“Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dan dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau agen.
“Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katannya dalam kenyataan hari ini.
Berita menyusul