Ajak BN keluar: Itu secara terbuka, nak sembunyi apa? - Shahidan

Ajak BN keluar: Itu secara terbuka, nak sembunyi apa? – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan pernah mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk  membentuk kerajaan baharu.

Sebaliknya kata beliau, usaha mengajak Barisan Nasional (BN)  bersama PN adalah rahsia umum atas semangat penyatuan ummah.

“Cuma saya nak tahu macam mana ada dakwaan kata saya adakan perjumpaan khusus (bersama Zahid) tentang PN nak suruh UMNO keluar (daripada Kerajaan Perpaduan) itu secara terbuka, nak sembunyi apa? semua orang sebut, dunia sebut, kamu sebut, pemberita pun sokong kami. 

“Biar saya semak dulu (dakwaan kata saya adakan pertemuan bersemuka dengan Zahid untuk tujuan demikian) sebab benda ini serius tetapi dalam ucapan mengajak UMNO sertai kami (PN), memang tak berhenti kami bercakap, orang PAS dalam ucapan mereka pun ada ajak atas semangat Bumiputera, Melayu dan Islam kita bersatu.

“Kita bersatu bukan mahu berkelahi dengan orang, sebaliknya untuk menjadi kuat, sekali gus menstabilkan ekonomi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini mengulas dakwaan beliau antara individu dikatakan memujuk BN keluar kerajaan.

Mengulas lanjut, Shahidan turut berkata, beliau tidak perlu menjadi dalang untuk memujuk  BN keluar daripada kerajaan kerana ada pemimpin dalam kerajaan hari ini yang lebih dalang sebenar bekerjasama dengan DAP.

“Saya tak perlu jadi dalang atau  penyamun tarbus, kalau saya nak sebut saya sebut terbuka, kalau saya nak cadang tukar kerajaan, saya cakap terus tukar kerajaan,yang dalang adalah mereka, orang yang kerjasama dengan DAP itu dalang, siapa tuduh saya dalang dia penyamun tarbus,” katanya.

Sementara itu, Ahli  Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, tidak betul jika ada pihak cuba menuduh PN membuat tawaran kepada BN untuk keluar kerajaan kerana mereka hanya pembangkang yang tidak mempunyai dana.

“Kalau Arau  dikatakan tawar  (BN) tarik  balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, itu tak betul. Apa yang kita (pembangkang) ada untuk tawarkan? Kita pembangkang sudahlah peruntukan tak ada, kita nak tawar apa untuk mereka, kecuali mereka secara sukarela buat demikian, jadi tuduhan itu tak berasas,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan wujudnya usaha memujuk  BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahmad Zahid  juga mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemu beliau dengan cadangan membentuk jajaran baharu kerajaan perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN