Ajai cadangkan Fazura ambil kelas, belajar vokal - Utusan Malaysia

Ajai cadangkan Fazura ambil kelas, belajar vokal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai, mencadangkan kepada pelakon, Nur Fazura agar menyertai kelas vokal untuk memperbaiki nyanyiannya.

Ajai yang diminta mengulas mengenai video nyanyian aktres itu yang tular baru-baru ini, berkata, hanya cara itu membolehkan Fazura mengenal pasti tahap kemampuan vokalnya.

“Saya ini bukanlah ‘kaki check’, ada masa cari kelemahan nyanyian orang lain melainkan produk nyanyian itu ada kena mengena dengan saya atau di bawah penilaian saya.

“Tapi berdasarkan sedutan video yang tular, yang juga lalu di media sosial saya, saya dapati memang ada beberapa nota yang tidak tepat pada nyanyiannya itu.

“Pada saya, Fazura perlu kenal pasti prestasi diri, dan ambil tahu tentang bunyian. Seorang penyanyi, kalau ada kelemahan, dia kena belajar untuk perbaiki kelemahan itu.

“Kalau Fazura diberikan rezeki untuk menyanyi, dan dia ada tarikan serta peminat yang ramai. Jadi perlu dia ambil inisiatif untuk belajar vokal dan kenal pasti, bunyi itu sedap didengari atau tidak,” kata Ajai selepas konsert kemuncak The Chosen One 2024 semalam.

Ajai mengulas tentang nyanyian Nur Fazura membawakan secara live lagu Bertahan Demi Cinta yang dipersembahkannya sewaktu menjadi tetamu program Sea Today, baru-baru ini.

Pelakon filem Pisau Cukur itu menerima kecaman hebat media sosial gara-gara nyanyiannya yang kurang baik mempersembahkan lagu itu dalam program yang dirakam di Indonesia itu.

Ajai dalam pada itu turut mencadangkan Fazura mendapatkan khidmat komposer yang benar-benar dapat menghasilkan lagu yang sesuai dengan kemampuan nyanyiannya.

“Tentunya dia bekerja dengan orang yang profesional. Sepatutnya peluang itu dia gunakan untuk besarkan lagi bakat nyanyiannya.

“Harus diingatkan nyanyian bukan mengenai seseorang penyanyi itu bagus menyanyi nada tinggi atau rendah. Ia mengenai bunyi yang sesuai, yang kita gelarkan easy listening dan tidak mencederakan vokal penyanyi itu.

“Jadi dalam nyanyian, kenal pasti kemampuan anda. Jangan nyanyi lagu yang anda tidak mampu bawakan. Produksi juga harus memainkan peranan, hasilkan lagu yang sesuai dengan kemampuan vokalnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN