Aisha Retno anggap pembatalan konsert penindasan, tidak profesional - Utusan Malaysia

Aisha Retno anggap pembatalan konsert penindasan, tidak profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno, memaklumkan pihaknya tidak diberitahu berkenaan pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno  yang sepatutnya berlangsung Sabtu hadapan.

Jelas Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, dia dan pengurusannya sudah menghubungi penganjur, Kharisma Music International sejak beberapa bulan lepas untuk bertanya mengenai status konsert sulungnya itu namun mereka hanya mendiamkan diri.

“Saya tidak mengetahui apa-apa status mengenai konsert. Saya ada hubungi penganjur, tetapi mereka hanya senyap.

“Pembatalan konsert secara tiba-tiba oleh penganjur atas beberapa sebab benar-benar mengejutkan saya dan pihak pengurusan.

“Tapi, Allah mengatakan sebaliknya dan mungkin belum rezeki lagi. Saya terima dengan hati terbuka.

“Cuma, ada yang sahih dan tidak apabila dapat tahu mengenai alasan diberikan penganjur menerusi pengumuman berkenaan,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik pada Ahad.

Mengulas lanjut, Naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 itu pada awalnya sudah keberatan untuk menerima tawaran ini namun bersetuju setelah diyakinkan penganjur.

“Saya ada beritahu penganjur saya masih hijau dalam industri. Banyak lagi saya kena belajar dan kumpul aset dari segi lagu dan sebagainya.

“Saya sebenarnya tidak merancang untuk mengadakan konsert solo kerana baru melaksanakan beberapa acara besar seperti Anugerah Juara Lagu dan The Hardest Singing Show, jadi saya mahu berehat dan buat showcase kecil-kecilan.

“Sepatutnya tugas perancangan kewangan dan pemasaran adalah tanggungjawab penganjur, tapi mereka lemparkan tugas ini kepada saya. Jadi, bila keluar kenyataan penganjur seolah-olah nak salahkan saya,” luahnya.

Dalam pada itu, pembatalan konsert yang disifatkan Aisha sebagai penindasan dan tidak profesional itu itu telah mengakibatkannya kehilangan beberapa tawaran persembahan.

“Bagi memberi komitmen terhadap konsert, saya tidak boleh ambil beberapa tawaran kerja termasuklah daripada beberapa festival. Itu adalah kerugian yang perlu saya tanggung,” jelasnya.

Terdahulu pada Sabtu, penganjur, Kharisma Music International mengumumkan pembatalan konsert Aisha Retno yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu hadapan adalah disebabkan jualan tiket kurang memberangsangkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN