SEOUL: Penyanyi popular Korea Selatan, Ailee, bakal berkahwin dengan Choi Si hun, yang juga merupakan peserta rancangan Single’s Inferno, tahun hadapan.
Pengumuman itu dibuat menerusi sebuah kenyataan daripada agensi, A2Z Entertainment, menyatakan pasangan itu bakal berkahwin pada 20 April tahun hadapan selepas setahun bercinta.
“Pengenalan mereka bermula apabila diperkenalkan oleh seorang kawan.
“Selepas setahun menjalin hubungan, mereka akhirnya memilih untuk berkahwin pada 2025 atas dasar kasih sayang antara satu sama lain,” tulis kenyataan tersebut.
Tidak hanya agensi, malah penyanyi I Will Go To You Like A First Snow itu turut memuat naik hantaran menceritakan perasaannya terhadap calon suami.
“Saya telah bertemu seseorang yang membuatkan saya rasa selamat dan boleh bergantung hidup kepadanya.
“Saya ingin menghabiskan sisa hidup dengannya,” tulisnya.
Terdahulu, Ailee pernah memberi bayangan bakal mengakhiri zaman solo pada 2025 dengan seorang lelaki bukan selebriti.
“Saya tahu peminat mesti terkejut dengan berita percintaan saya ini. Apapun, saya berterima kasih untuk ucapan baik-baik daripada anda semua,” kongsinya sebelum ini.
Untuk rekod, walaupun Ailee mengatakan calon suaminya bukanlah seorang artis, namun Choi sudah pernah membintangi siri drama seperti The New Employee pada 2022.