Ahmad Shahril pangku tugas CEO Bank Rakyat bermula hari ini

Ahmad Shahril pangku tugas CEO Bank Rakyat bermula hari ini

DR. MOHAMMAD HANIS OSMAN (kiri) dan AHMAD SHAHRIL AHMAD SHARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat mengumumkan penamatan tempoh perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkuat kuasa hari ini.

Sehubungan itu, Bank Rakyat memaklumkan bahawa Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan, Ahmad Shahril Mohd. Shariff akan menggantikan beliau sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat bermula 9 November 2024.

Bank Rakyat turut merakamkan penghargaan kepada Mohammad Hanis atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan dalam memastikan kesinambungan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dilaksanakan dengan baik untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang dirangka.

“Pelbagai pencapaian dan pengiktirafan turut berjaya diraih sepanjang tempoh beliau menerajui kepimpinan Bank Rakyat.

“Semasa kepemimpinannya, Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia mendahului jenama perbankan lain,” menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance Malaysia 2023.

“Justeru, Bank Rakyat berterima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar beliau sepanjang beliau memimpin Bank berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mohammad Hanis telah berkhidmat selama 15 tahun di Bank Rakyat, dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 April 2022, sebelum memegang teraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Bank Rakyat turut memaklumkan, Ahmad Shahril mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta kelayakan akademik yang luas.

Katanya, beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.

“Pelan peralihan ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang berkepentingannya. Kami yakin pelantikan ini akan terus membawa Bank Rakyat ke hadapan sambil mencapai objektif strategik kami.

“Bank Rakyat juga telah merangka pelan penggantian untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya