JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan dan dua lelaki warganegara Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menculik dan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta, bulan lalu.
Tertuduh, Chong Shih Ming, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Manakala dua lelaki Vietnam, Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bertiga bersama seorang lagi yang masih bebas, menculik seorang pemaju hartanah berusia 59 tahun dan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View, di sini kira-kira pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya mencadangkan Shih Ming dijamin sebanyak RM30,000 sebelum mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, iaitu perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dan mangsa.
Bagi Van Tung dan Van Chung, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan sehingga tarikh sebutan semula sebelum pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Vietnam.
Shih Ming diwakili peguam bela, K. Veeranesh, manakala Van Tung dan Van Chung tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, seorang wanita Vietnam didakwa melupuskan kenderaan jenis Honda Accord dengan niat hendak mengelakkan Shih Ming daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Nguyen Ngoc Ngan, 36 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, A. Sharmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ibu kepada dua orang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Keembong 39, Taman Johor Jaya di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 24 Oktober lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han dan kedua-dua mahkamah turut menetapkan 17 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN