PETALING JAYA: Agrobank memberi jaminan dan komitmen untuk mengekang salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan institusi kewangan berkenaan.
Presidennya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan setakat ini termasuk pengenalan sistem tata carakerja dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.
Selain itu katanya, Agrobank juga mengemas kini dan menaik taraf sistem kerja bagi memastikan institusi berkenaan bebas rasuah.
“Kita bukan sahaja mahu memastikan Agrobank bebas rasuah tetapi turut menerapkan nilai murni agar segala kerja berlandaskan SOP betul.
“Ini penting agar tiada salah guna kuasa atau rasuah dalam kalangan pekerja,” katanya ketika menghadiri Minggu Integriti di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, untuk mengukuhkan budaya pematuhan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan kakitangan, Agrobank turut melaksanakan kempen 3B (Buat Betul-Betul) yang telah dilancarkan sejak Februari lalu.
Katanya lagi, Agrobank turut menyediakan modul E-Latihan dan Pembelajaran serta sesi interaktif bersama pakar-pakar industri khusus untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pematuhan serta tingkah laku etika yang dirangka khusus. – UTUSAN