SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua penjawat awam menjalankan tugas mengikut undang-undang dan tidak melanggar peraturan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika beliau diterima menghadap baginda di Istana Negara pagi tadi.
“Pagi tadi saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong bertitah orang kerajaan buatlah kerja ikut peraturan dan jangan langgar peraturan.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah pegawai kerajaan tetap ada dalam kerajaan, ahli politik ‘come and go’ (datang dan pergi), malah Agong pun ‘come and go’ (datang dan pergi), jadi jalankan kerja dengan penuh integriti,” katanya ketika berucap pada Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024 di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mededahkan seramai 545 atau 43.4 peratus daripada 1,257 individu yang ditahan sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini terdiri penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sebanyak sembilan tangkapan membabitkan golongan pengurusan tertinggi, manakala pengurusan profesional (181) dan pelaksana/sokongan (357).
Dalam pada itu, Shamsul Azri mengingatkan sebarang pengurusan program atau projek perlu dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan integriti bagi mencapai tatakelola terbaik.
Katanya, ia akan dapat meningkatkan keyakinan dan jangkaan pemegang taruh ke atas perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan. – UTUSAN