ADUN Bukit Chandan menang Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar - Utusan Malaysia

ADUN Bukit Chandan menang Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar

DR. HASHIM Bujang (dua dari kanan) menang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar pada pemilihan parti itu yang berlangsung semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Kangsar menerima ketua baharu apabila Dr Hashim Bujang dipilih sebagai Ketua Bahagian dalam pemilihan parti itu semalam.

Dr Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan itu menang selepas memperoleh 114 undi menewaskan Mohd. Radzuan Abdul Karim yang mendapat 48 undi.

Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sebelum beliau dipecat susulan pendiriannya menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Iskandar Dzulkarnain, lima Ahli Parlimen yang terkait dengan isu itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Bagi jawatan Timbalan Ketua pula disandang oleh Adly Shah Ahmad Tah yang menang dengan 128 undi mengalahkan pesaing Mohd. Faizal Abdul Rani yang memperoleh 36 undi manakala jawatan Naib Ketua pula dimenangi Ab Rahim Mat Nor yang menerima 112 undi menewaskan Shahrul Rosdi Yusof dengan 51 undi.

Jawatan Pengerusi Tetap pula dimenangi Mohd. Johari Mat Tasi manakala Timbalan Pengerusi Tetap pula disandang Shamsulhairi Mohd. Zamzuri.

Pemilihan bagi Bersatu Bahagian Kuala Kangsar yang dijalankan di USAS Resort Kuala Kangsar semalam, menyaksikan seramai 173 perwakilan hadir mengundi calon bagi pemilihan penggal 2024-2027. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN