KUALA LUMPUR: Pelakon, Alif Muhaimin, mendedahkan terdapat sebilangan pelakon senior yang memberi layanan buruk terhadap pendatang baharu di set penggambaran.
Malah menurut Alif atau Alif Muhaimin Abdul Rahman, 30, budaya buli sebegitu sudah dianggap perkara biasa yang perlu ditelan oleh pendatang baharu.
“Saya nampak depan mata sendiri pelakon senior buli junior. Memang sudah jadi politik senior-junior di set penggambaran. Bagi mereka, zaman dulu semua pelakon kena buli, jadi dia buat perkara sama. Pada saya ia tidak sihat.
“Contohnya apabila terdapat dialog panjang sampai empat muka surat, kita tahu pelakon akan rasa sedikit cemas untuk habiskan dialog.
“Tapi apabila dialog itu hampir berjaya dihabiskan, tiba-tiba pelakon senior ini akan gelak dan terpaksa ulang semua dari awal.
“Ada juga yang berlakon tidak sama seperti dalam latihan, alih-alih pelakon baru kena marah dan perli dikatakan tidak pandai sedangkan dia yang lupa skrip,” dedahnya kepada Utusan Malaysia.
Susulan daripada itu, terdapat pendatang baharu yang merasa tertekan dan murung sehingga ada yang enggan meneruskan minat mereka sebagai pelakon.
“Sebab itu kalau kita nampak budak baru masuk ada yang murung dan tertekan. Mereka muat naik status media sosial sedih dan tidak mahu berlakon.
“Boleh dikatakan banyak juga (berlaku buli) sampaikan ada yang cakap ia perkara biasa. Cuma ketika di set, mereka tidak tegur pembuli tapi masing-masing suruh artis baru bersabar dan jangan cepat ‘koyak’,” katanya.
Malah menurut Alif, dia sendiri pernah berhadapan dengan situasi serupa ketika awal-awal bergelar pelakon namun berjaya diatasi selepas melakukan konfrontasi dengan individu tersebut.
“Saya pernah kena juga cuma bukan dengan pelakon, tetapi kru. Hampir setiap hari dia akan tiba-tiba gelak membuatkan kami terpaksa ‘set up’ semula dan meleret penggambaran sampai ke malam.
“Saya sangat geram sampailah saya bersemuka dengan individu tersebut. Saya katakan saya mahu bekerja untuk tampung keluarga. Sejak itu dia berlembut dengan saya,” jelasnya. -UTUSAN