Abu Bakar jambatan bawa suara akar umbi ke pusat, Bersatu Kangar makin kukuh - Utusan Malaysia

Abu Bakar jambatan bawa suara akar umbi ke pusat, Bersatu Kangar makin kukuh

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah mencipta sejarah tersendiri menjadi satu-satunya wakil dari Perlis yang memenangi pemilihan parti itu di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menerusi pemilihan bagi jawatan MPT tersebut baru-baru ini, Abu Bakar menduduki tempat ke 14 daripada senarai keseluruhan 20 calon lain yang dipilih bagi jawatan berkenaan.

Abu Bakar berkata, kemenangan tersebut dapat membuka ruang buat beliau untuk membawa suara akar umbi Bersatu Perlis ke peringkat pusat selepas ini.

“Bersatu di Perlis khususnya Bahagian Kangar yang memiliki antara cawangan terbesar di Malaysia dan sudah tentu, dengan kemenangan dalam pemilihan ini, saya dapat membawa suara akar umbi ke peringkat pusat dengan lebih mudah.

“Selama penubuhan Bersatu juga belum pernah ada wakil dari Perlis dipilih di peringkat MPT dan saya amat berbesar hati apabila berjaya menang dalam pemilihan kali ini,” katanya, di sini, hari ini.

Selain dipilih sebagai ahli MPT, Abu Bakar turut mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Kangar apabila menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar oleh mana-mana pihak dalam pemilihan baru-baru ini.

Di samping itu, dua wakil Bersatu Perlis dari Bahagian Kangar iaitu Marzita Mansor dan Siti Nur Farahim Mustaffa juga masing-masing berjaya memenangi jawatan di peringkat pusat sebagai ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu Malaysia dan Exco Srikandi Muda Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Abu Bakar berkata, bagi peringkat Bersatu Bahagian Kangar, gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) juga akan berjalan lebih lancar selepas pembentukan jawatankuasa baharu ini.

“Kita juga akan fokus untuk sasar kepada penambahan ahli dan cawangan khususnya peringkat Srikandi, Armada dan Srikandi Muda,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, Bersatu negeri juga mempunyai perancangan bagi meminta tambahan satu kerusi buat parti itu dalam menghadapi PRU16 akan datang.

Ujarnya, tambahan kerusi yang dicadangkan itu mungkin melibatkan kawasan di Padang Besar bagaimanapun perkara tersebut masih sedang dikaji secara menyeluruh.

“Jika cadangan ini diterima, Bersatu mungkin akan diberikan kuota enam kerusi di Perlis dalam PRU16 nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya