PUTRAJAYA: Prestasi Projek Pembangunan Rolling Plan (RP) 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga merekodkan pencapaian sebanyak 65.82 peratus atau RM59.24 bilion.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu dicatatkan setakat 4 November lalu daripada sejumlah RM90 bilion yang diperuntukan.
Menurut beliau, ia membabitkan 8,719 program serta projek yang berjaya dicapai dan dibangunkan setakat ini.
“Dalam hal ini, semua kementerian hendaklah terus berusaha keras bagi memastikan peruntukan pembangunan dapat dibelanjakan secara optimum serta melonjakkan prestasi perbelanjaan melebihi 95 peratus untuk RP4.
“Bagi mencapai aspirasi RMK12 yang berbaki satu tahun sahaja lagi, saya ingin mengingatkan semua Ketua Setiausaha Kementerian untuk melaksanakan pendekatan tegas dan mesti bersifat reformatif terhadap pelaksanaan program atau projek pembangunan,” katanya katanya ketika berucap pada Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024 di sini, hari ini.
Shamsul Azri berkata, sebanyak RM88 bilion daripada RM423 bilion diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan yang akan menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi.
Dalam hal ini, katanya, Belanjawan Madani 2025 juga adalah belanjawan terakhir dalam pelaksanaan RMK12 untuk menterjemahkan agenda pembangunan negara di samping menjadi asas kepada permulaan penyediaan RMK13.
“Justeru, menjadi peranan dan tanggungjawab kementerian, jabatan dan agensi untuk memastikan segala program dan aktiviti yang dirancang diselaras dan diimplementasi sebaiknya supaya semua iltizam dan perancangan Kerajaan melalui Belanjawan Madani 2025 dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN