PUTRAJAYA: Penggunaan ubat antibiotik secara tidak wajar atau berlebihan dijangka mengakibatkan ramai penduduk negara ini mengalami isu kerintangan antibiotik (AMR).
Malah menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dianggarkan kira-kira 87,000 rakyat Malaysia berisiko maut akibat masalah AMR antara 2020 sehingga 2030.
“Unjuran itu hasil kajian oleh Pejabat Rantau Pasifik Barat (WPRO) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jika kita masih tidak peduli isu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Kesedaran AMR Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
AMR disebabkan si pesakit sengaja mengambil antibiotik meskipun tidak perlu untuk kes jangkitan biasa atau tidak menghabiskan dos mengikut tempoh yang ditetapkan doktor.
Program selama tujuh hari itu susulan pelan tindakan sejagat yang dimuktamadkan WHO ketika Perhimpunan Agungnya pada 2015 dan kemudian dijadikan acara tahunan global.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, badan itu telah mengisytiharkan AMR sebagai antara 10 ancaman utama sehingga boleh menggugat Matlamat Pembangunan Mampan 2030.
“Kalau isu ini gagal ditangani, WPRO mengunjurkan 5.2 juta maut di rantau Pasifik Barat dalam tempoh sedekad itu dan kerugian ekonomi mencecah AS$148 bilion,” jelas beliau.
Walau bagaimanapun ujarnya, anggaran kes kematian akibat impak AMR di Malaysia boleh dianggap agak tinggi iaitu 0.26 peratus daripada nisbah keseluruhan 33 juta populasi.
Beliau memberikan perbandingan dengan beberapa negara seperti Vietnam yang diunjurkan 0.3 peratus maut manakala Filipina hanya 0.23 peratus dan Jepun pula 0.18 peratus.
Dalam perkembangan yang lain, beliau memberikan jaminan bahawa pihaknya menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau pemasaran kosmetik tertentu.
Ia susulan tular menerusi wadah media sosial yang memaparkan ada pempengaruh terkenal aktif mempromosikan produk dengan langsung tiada kelulusan agensi berkenaan.
“NPRA memang mengawasi sebarang penjualan namun kita juga berharap agar masyarakat tampil membuat laporan kerana mungkin ada kes terlepas pandang,” kata Dzulkefly. – UTUSAN