KOTA BHARU: Seramai 85 peserta wanita berusia 26 hingga 90 tahun Program Kembara Al-Quran, anjuran Masjid Jamek Tengku Muhammad Faris Petra diraikan pada majlis graduasi di sini semalam.
Imam Besarnya, Ahmad Maher Safiain berkata, siri kedua program berkenaan membuahkan hasil apabila ramai peserta baharu mengenal al-Quran berjaya khatam sepanjang dua siri terawal sebelum ini.
“Alhamdulillah sepanjang sembilan bulan program siri kedua berlangsung, kesemua peserta berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.
“Kebanyakan peserta khatam kali pertama, malah ramai dalam kalangan mereka yang baharu mengenal al-Quran,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui di sini semalam.
Program Kembara Al-Quran yang diadakan secara percuma itu, bertujuan membantu masyarakat termasuk warga emas dan golongan berkerjaya menguasai bacaan al-Quran.
Ahmad Maher berkata, kesemua peserta yang mengikuti program itu, dipilih dari serata Kuala Krai dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal berhampiran masjid.
Malah, bagi menjayakan program itu, guru-guru al-Quran khusus dilantik untuk mengajar peserta.
Sementara itu, katanya siri ketiga program berkenaan telah dimulakan dan mendapat sambutan di luar dugaan, hingga memaksa pengajur menghadkan kepada hanya 150 peserta sahaja sebagai mengambil kira kapasiti masjid dan kekuatan tenaga pengajar.
“Kami menjangkakan siri ketiga ini mengambil masa lebih lama, iaitu sehingga 12 bulan dengan pengisiannya ditambah baik dengan tadabbur, ceramah dan lawatan.
“Sebelum ini kita hanya membaca al-Quran tetapi untuk siri ketiga kita turut adakan tadabbur, ceramah dan lawatan ke tempat-tempat bersejarah termasuk di Selatan Thai,” katanya.
Beliau turut merancang mengadakan graduasi siri ketiga di Mekah bagi mengingati dan memberi peluang kepada peserta melihat menyaksikan sendiri tempat asal turunnya wahyu Allah. – UTUSAN