PUTRAJAYA: Sebanyak 85 peratus penjawat awam telah bersetuju dan menandatangani opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau difahamkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sedaya upaya memberi penerangan bagi memastikan kesemua penjawat awam memilih opsyen itu.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan masih ada penjawat awam yang masih tidak jelas dengan skim berkenaan.
“Ia disebabkan ada info tidak tepat yang disebarkan di media sosial,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani: Taat Setia di sini, hari ini.
Ditanya apa punca masih ada penjawat awam yang enggan menandatangani opsyen itu, Shamsul Azri berkata, ia bukan disebabkan salah faham, sebaliknya ada penjawat awam yang merujuk sumber tidak sah.
“Kalau yang memperkenalkan SSPA itu JPA, ikutlah portal JPA dan dengar lah nasihat JPA serta ikut lah sesi libat urus oleh JPA.
“Jangan dengar cakap kawan-kawan dekat media sosial. Kerana kawan-kawan dekat media sosial ini tak kerja kerajaan pun. Macam mana dia nak faham,” katanya.
JPA mula membuka opsyen menandatangani SSPA bermula 21 Oktober lalu hingga 30 November ini dan tawaran itu terbuka kepada semua pegawai awam bertaraf tetap bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
SSPA adalah inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi membangun Malaysia MADANI.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Pelarasan gaji akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.- UTUSAN