8.7 juta terima bayaran akhir STR 2024 mulai esok 

8.7 juta terima bayaran akhir STR 2024 mulai esok 

SEBAHAGIAN penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) beratur untuk mengambil bantuan tersebut di Bank Simpanan Nasional (BSN) .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 8.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 akan menerima bayaran akhir secara berperingkat mulai esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran tersebut akan diberi secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Kata beliau, pada masa sama, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember ini. 

Menurut beliau, baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

“Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ini selaras dengan keprihatinan Kerajaan Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion dan kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun ini  berbanding RM8 bilion pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.

Peningkatan peruntukan itu sebanyak 30 peratus adalah yang tertinggi pernah diberikan kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat sehingga memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah. 

Kenaikan peruntukan ini juga hasil penstrukturan semula kewangan kerajaan yang mengambil pendekatan untuk mengagihkan semula kekayaan negara kepada rakyat terbanyak.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan  mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan. 

Menurut beliau, ini bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error. Data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan selain data daripada beberapa agensi kerajaan lain untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya