ALOR GAJAH: Sebanyak 79 senjata tajam seperti keris, pedang, parang dan tombak yang didakwa ‘berpenunggu’ dirampas polis ketika serbuan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam yang beroperasi di Masjid Tanah di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang pada 24 Oktober lalu itu, anak lelaki kepada Tabib Adam atau nama sebenarnya Adam M. Isa berusia 22 tahun turut ditahan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan Dan Senjata Berbahaya 1959 manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan dan bakal dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
“Hasil pemeriksaan di sebuah kediaman dalam premis rawatan berkenaan menjumpai sebanyak 79 senjata tajam yang dikategorikan sebagai senjata berjadual yang disimpan tanpa tujuan atau maksud sah.
“Seorang penghuni iaitu anak lelaki kepada pengamal perubatan itu memberitahu senjata berkenaan dibawa oleh pesakit kerana mendakwa ia mempunyai ‘penunggu’ dan pusat rawatan membantu membersihkannya,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, operasi yang dilakukan JAIM di markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam gagal menahannya memandangkan individu itu dipercayai melarikan diri ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan selepas menerima aduan awam yang menyatakan bahawa pusat perubatan itu masih beroperasi, walaupun fatwa pengharaman telah diwartakan di negeri ini.
Tambah Ashari, anaknya mendakwa kali terakhir dia berjumpa dengan Adam adalah pada 23 Oktober iaitu sehari sebelum serbuan.
Jelasnya, suspek turut mendakwa kesemua senjata itu berada di premis berkenaan kerana tidak diambil semula oleh para pesakit selepas dilakukan upacara pembersihan.
“Pemuda itu juga mendakwa sebahagian senjata berkenaan digunakan sebagai ʼpengerasʼ yang diberikan pesakit kepada ayahnya untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – UTUSAN