KUALA LUMPUR: Sebanyak 78,152 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Khas Motosikal di seluruh negara sejak 1 November lalu.
Dalam tempoh 29 hari pelaksanaan operasi terbabit, sebanyak 304,552 motosikal turut diperiksa.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, daripada jumlah terbabit, kira-kira 1,530 notis terhadap pemandu atau penunggang warga asing (PeWA) serta 2,125 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, seramai 234 penunggang motosikal telah disaring dan 34 daripadanya didapati positif dadah.
“Kesalahan tertinggi dikesan adalah tiada lesen memandu melibatkan 22,601 notis dikeluarkan.
“Seterusnya tiada atau tamat Lesen Kenderaan Motor (16,789), tiada insurans (15,117), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (4,699), lesen tamat tempoh (1,606) dan memandu atau menunggang bawah umur (167),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di Bangsar, di sini malam tadi.
Menurut beliau, pihaknya komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya melalui penguatkuasaan yang tegas.
“Ujar beliau, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Matlamat utama kami adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan menyelamatkan nyawa.
“JPJ turut menasihatkan semua penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan orang lain,” katanya.
Tambahnya, sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh dilaporkan melalui Aplikasi MyJPJ atau emel [email protected] dengan maklumat lengkap.
“Operasi ini merupakan langkah JPJ dalam memperkukuh keselamatan dan disiplin di jalan raya,” katanya. – UTUSAN