TAIPING: Seramai 7,800 tahanan di empat pusat tahanan di Perak menikmati hidangan makan tengah hari kurniaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan Hari Keputeraan baginda hari ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, hidangan kurniaan Sultan Perak itu merupakan ilham daripada baginda sendiri dan kurniaan hidangan tengah hari kepada tahanan di pusat tahanan di negeri ini merupakan kali kedua diadakan.
“Hidangan jamuan kurniaan ini sebagai tanda baginda tidak pernah melupakan mereka pada sambutan Hari Keputeraan baginda.
“Baginda memberi sumbangan berjumlah RM93,600 bagi penyediaan jamuan ini untuk seramai 7,800 orang prospek di empat pusat tahanan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan makanan kepada prospek sempena Hari Keputeraan baginda di Pusat Koreksional Kamunting (Kemta) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zahidi, antara menu hidangan tengah hari yang disediakan ialah nasi minyak, ayam masak merah, dalca dan kurma kambing.
Beliau berkata, seramai 1,231 orang prospek di Kemta menikmati hidangan kurniaan Sultan Perak hari ini.
“Jumlah sumbangan wang yang disampaikan untuk Kemta bagi penyediaan jamuan ini adalah sebanyak RM16,800,” katanya.
Mohd Zahidi percaya setiap prospek yang ditahan mempunyai kebolehan masing-masing.
Beliau berharap mereka dapat melakukan perubahan yang terbaik bagi diri sendiri dan menginsafi perbuatan mereka yang lalu.
“Saya juga percaya semua prospek ini akan menjadi orang yang lebih berjaya dan dapat memperbaharui kehidupan mereka apabila dibebaskan nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, untuk tahun ini, tiada pembebasan banduan dilakukan di Perak sempena sambutan Hari Keputeraan baginda, seperti seperti tahun-tahun sebelumnya. – UTUSAN