71 pemandu kenderaan perdagangan, awam positif dadah - Utusan Malaysia

71 pemandu kenderaan perdagangan, awam positif dadah

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (depan) menunjukkan motosikal yang disita dalam Operasi Khas Motosikal di Jalan Sitiawan-Seri Manjung hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 79 pemandu dengan 71 daripadanya pemandu kenderaan perdagangan dan awam didapati positif dadah dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara sepanjang bulan lalu.

Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melakukan saringan air kencing terhadap 1,713 pemandu sepanjang operasi itu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,324 pemandu kenderaan perdagangan, 70 pemandu kenderaan perkhidmatan awam serta 319 pemandu lain-lain kenderaan, telah melakukan ujian saringan tersebut.

“Hasilnya, seramai 62 pemandu kenderaan barangan, lapan pemandu kedua kenderaan sama, lapan pemandu lain-lain kenderaan dan seorang pemandu kenderaan awam didapati positif dadah.

“Dadah jenis methamphetamine atau syabu paling banyak dikesan dan paling popular (di kalangan pemandu) selain dadah jenis lain,” katanya pada sidang media di lokasi Operasi Khas Motosikal di Kilometer 1 Jalan Sitiawan-Seri Manjung, dekat sini hari ini.

Difahamkan, sebelum ini terdapat kepercayaan di kalangan pemandu kenderaan mendakwa penggunaan dadah jenis syabu mampu menghilangkan rasa mengantuk.

Menurut Muhammad Kifli, pemandu terbabit berusia antara 22 hingga 55 tahun yang mana lebih separuh iaitu 48 orang adalah berusia di bawah 40 tahun manakala selebihnya 31 orang berusia antara 41 hingga 55 tahun.

Katanya, kesemua mereka akan menjalani saringan air kencing kedua dan jika masih positif, lesen mereka akan digantung.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius penggunaan dadah serta alkohol ketika memandu kerana ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu itu sendiri tetapi akan turut melibatkan orang lain jika berlaku kemalangan.

Sepanjang operasi itu juga, jelasnya, JPJ telah memeriksa 526,215 kenderaan perdagangan dan sebanyak 69,379 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Tambahnya, sebanyak 551 kenderaan perdagangan pula disita kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 100,577 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu dan kenderaan tersebut atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya