6,013 kes kemalangan sepanjang Op Deepavali

6,013 kes kemalangan sepanjang Op Deepavali

PENGARAH Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri (tengah) selepas Perhimpunan Bulanan JSPT Bukit Aman hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,013 kes kemalangan dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang empat hari operasi perayaan Deepavali bermula 31 Oktober hingga 3 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kes kemalangan tersebut hasil daripada 388 operasi dijalankan sepanjang tempoh terbabit.

“Sebanyak 60 kematian dan 97 tangkapan dibuat dalam tempoh terbabit.

“Analisis polis mendapati kes tertinggi kemalangan maut disebabkan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JSPT Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, tangkapan membabitkan 91 orang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987; Kanun Keseksaan (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seorang lagi melibatkan lain-lain kesalahan.

Beliau berkata, sebanyak 647 pelbagai jenis kenderaan turut disita.

“Dalam tempoh sama, kita turut menjalankan 119 operasi samseng jalanan melibatkan 91 operasi di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987, Seksyen 108 APJ 1987 (45) dan lain-lain akta (4).

“Dua individu turut ditahan kerana terlibat lumba haram iaitu di bawah Seksyen 81 APJ manakala empat tangkapan melibatkan lain-lain akta.

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 328 motosikal turut disita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusri berkata, pihaknya telah melancarkan Op Khas Motosikal 2024 bermula pada 12 Ogos hingga 12 September lalu di kontinjen dan daerah di seluruh negara.

Jelas beliau, operasi tersebut bertujuan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan motosikal terutamanya jumlah kes maut yang meningkat setiap hari.

“Op khas motosikal kali ini menunjukkan penurunan jumlah kemalangan dengan merekodkan 2,461 kes pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun 2023 iaitu 2,735 kes.

“Kes kemalangan maut juga menurun kepada 321 kes tahun ini berbanding 423 kes pada 2023 selain jumlah kematian melibatkan penunggang dan pembonceng turut menurun sebanyak 324 kematian berbanding 436 individu maut pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya