SUNGAI GOLOK (THAILAND): Polis Thailand memberi jaminan menjalankan siasatan secara telus susulan penahanan seorang penyanyi lagu-lagu dialek terkenal Kelantan bersama lima lagi individu di sebuah hotel di sini pada 1 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata, setiap kes disiasat secara adil tidak kira kesalahan dadah atau jenayah lain yang dilakukan di kawasan Sungai Golok.
Katanya,serbuan dan tangkapan dibuat mengikut prosedur tanpa mengira status suspek sama ada melibatkan individu popular atau orang biasa.
“Kita tidak mengenali mereka. Siasatan awal mendapati, jumlah 6,000 biji pil kuda tidak mungkin digunakan sendiri oleh semua suspek.
“Ia berkemungkinan besar dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah. Berdasarkan undang-undang baharu melibatkan dadah di Thailand, kuantiti dadah yang dirampas di dalam bilik itu juga menunjukkan bahawa suspek terbabit dalam kegiatan menjual bahan tersebut.
“Jika sebiji sahaja pil kuda ditemukan, mungkin mereka menggunakan sendiri dadah tersebut. Apabila kuantitinya banyak dan berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, ia berkemungkinan untuk dijual. Perkara itu termaktub dalam undang-undang di Thailand.
“Mengikut undang-undang melibatkan kesalahan dadah di negara ini, urusan jual beli dadah bukan hanya melibatkan wang. Jika dadah itu hanya diberi percuma, ia juga dikira terbabit dalam kegiatan jual beli dadah,” ujarnya.
Jadsadavit berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kebiasaannya keputusan awal itu akan diguna untuk setiap kes dadah.
Katanya, selain sampel urin, keputusan forensik pil kuda yang dijumpai dan cap jari akan diperoleh tidak lebih daripada sebulan selepas tangkapan suspek.
“Banyak pihak yang mengeluarkan pelbagai spekulasi yang tidak benar mengenai kes itu, tetapi ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya.
Terdahulu, seorang penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu daerah negeri ini ditahan polis Thailand bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Golok.
Kesemua individu termasuk penyanyi berusia 20-an itu ditahan dalam serbuan pada pukul 5 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sedia membantu menyalurkan maklumat yang diperlukan pihak berkuasa Thailand susulan penahanan berkenaan.
Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai penahanan mereka susulan kes berkenaan sudah melalui proses perundangan di negara itu.
“JSJN sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa di sana dan jika mereka memerlukan maklumat lanjut, kita sedia membantu,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN